ALOR SETAR – Kalau di Kota Bharu terkenal dengan Pasar Siti Khadijah – Alor Setar pula tersergam indah Kompleks Pekan Rabu.
Terletak tengah-tengah bandar, ia menjadi lambang kemegahan kepada para peniaga Melayu di negeri ini malah di Malaysia.
Ini kerana tidak lengkap sekiranya datang Kedah jika tidak singgah dan membeli-belah di Pekan Rabu yang merupakan pusat aktiviti dan ekonomi orang tempatan.
Pengusaha di sini adalah 100 peratus orang-orang Melayu yang membeli produk borang daripada tempat lain dan kemudiannya meniaga di sini.
Komplek ini menyediakan pelbagai jualan seperti makanan, kuih, pakaian, songkok, kraftangan serta produk industri kecil dan sederhana.
Sejak Mac 2018, Pekan Rabu dibuka semula dengan wajah baharu selepas dipersetujui Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012 untuk membina bangunan baharu yang dikenali sebagai Kompleks Pekan Rabu di tapak sama dengan kos kira-kira RM55.7 juta.
Kompleks Pekan Rabu kemudiannya dipindahkan sementara ke Kompleks Ukir Mall selama lebih kurang tiga tahun bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Kompleks Pekan Rabu yang baru di atas tapak asal.
Kerja-kerja pembinaan di Jalan Tunku Tunku Ibrahim itu bermula pada 2014.
Hari ini, bangunan setinggi empat tingkat itu dibina dengan reka bentuk serba moden namun ciri-ciri keunikan konsep asal Pekan Rabu itu masih dikekalkan dengan reka bentuknya turut dibina dengan konsep tradisional Islamik.
Kompleks perniagaan itu dibangunkan semula di atas tanah seluas 5,062 meter persegi dan ia mempunyai 355 ruang niaga termasuk kios serta 24 kedai makan.
Pada hari-hari biasa, kira-kira 1,000 orang termasuk pelancong mengunjungi Kompleks Pekan Rabu dan jumlah pengunjung boleh mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad serta musim cuti sekolah.
Yang pasti, kini premis ikonik pelancongan Kedah ini tersergam indah memberi nadi baharu kepada Bandar Raya Alor Setar.
Tetapi jangan terkejut kerana antara peniaga yang mempunyai nama besar di negara hari ini adalah bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Beliau menjual cendol dan membuka kedai kopi serta menjual buah-buahan pada zaman pendudukan Jepun pada tahun 1942 hingga 1944.
WAKTU BEROPARASI : Setiap Hari Dari pukul 10pagi sehingga 8malam